Spiga
View technorati.com

RENUNGKAN BERSAMA..

Kebanyakan masalah yang berlaku adalah berpunca daripada diri wanita itu sendiri begitu juga suami. Kerana masing-masing tidak tahu tugas atau fungsi baik sebagai isteri mahupun suami, bila dah kecewa mereka menyalahkan satu sama lain.

``Namun saya bersimpati juga dengan nasib yang menimpa mereka, malah ada kawan-kawan wanita yang datang bertanyakan pendapat dan pandangan saya bagaimana mengatasi masalah yang dihadapi atau sedang menimpa diri mereka. Saya juga kesian dengan nasib wanita yang teraniaya dan boleh saya katakan secara singkat di sini, bahawa mereka tidak tahu tugas atau fungsi mereka sebagai isteri, sebab itulah dianiaya.

``Pada pandangan saya secara ikhlas kaum wanita yang menganggap diri mereka sebagai `mangsa' lelaki atau suami boleh saya golongkan mereka ini sebagai ``orang yang suka diri menjadi mangsa - playing the role of victims''. Mana tidaknya, mereka yang sanggup berkorban atas dasar cinta atau bertolak ansur dengan suami demi kebahagiaan keluarga. ``Sedangkan, sikap bodoh dan ego mereka itulah sebenarnya menjadi punca masalah dalam hidup mereka. Puan, saya ni sebenarnya tak ada sebarang ruangan khas untuk digunakan bagi memberi nasihat kepada mereka yang bermasalah seperti ini.

``Selalunya, kawan-kawan yang meminta nasihat ini terdiri daripada kaum wanita yang sudah berumur. Ada yang dah nak masuk 40 tahun pun. Bergaji empat atau lima angka bahkan ada yang lebih enam ribu ringgit sebulan. Mereka sudah ada rumah dan kereta. Sudah mengerjakan haji dan pergi umrah berkali-kali. Jadi mereka tanya bolehkah dia berkahwin dengan lelaki seperti itu (bergaji kecil, berpendidikan rendah dan umurnya lebih muda)?

``Pada pandangan saya kawan-kawan saya ini hidup mereka sudah jauh lebih senang berbanding dengan calon lelaki yang mereka pilih itu. Mereka sudah mempunyai pendapatan tinggi dan kukuh dan mereka sudah masak dalam mengurus hidup sendiri. Malah boleh dikatakan wanita golongan ini hidup mereka sudah lebih daripada bahagia dan amat selesa tanpa suami.

``Tetapi masalah mereka yang cukup besar adalah kaum keluarga, saudara-mara yang kaki penyibuk. Terutamanya ibu bapa sendiri yang kononnya kalau mereka mati nanti tak boleh tutup mata rapat, kalau anaknya yang dah berumur ini `tak diselamatkan' (tidak dikahwinkan).

``Memang pada mulanya kawan-kawan saya tu tak kisah sangat tentang pasangan hidup mereka, sebab kehidupan mereka sudah jauh daripada selesa. Tapi, kalau setiap masa dan ketika kalau mereka balik ke kampung kaum keluarga mulalah mendongengkan kisah anak dara tak kahwin ini, lama-lama mereka pun sudah tak larat nak dengar lagi.

``Akibatnya mereka terpaksa menyerah kalah. Mengikut! Jadi, sebagai kawan yang lebih berumur dan dewasa daripada mereka, bila mereka bertanyakan pendapat saya, tentulah saya jawab, kenapa tidak? Kahwinlah sahaja supaya ibu bapa mereka boleh menutup mata betul-betul rapat bila mati nanti, tapi ingatlah kepada beberapa nasihat saya.

``Saya memberi mereka tujuh petua, kalau nak kahwin juga dengan lelaki yang jauh lebih rendah pendapatan serta pendidikan serta berumur jauh lebih muda daripada diri mereka sendiri. Kata saya, kalau ikut tujuh petua atau panduan ini kalau terjatuh pun taklah parah sangat, sebab anda sudah bersedia. Berikut adalah beberapa panduan ataupun nasihat saya.

``Pertama, saya katakan kepada mereka dia hendaklah membeli rumah sendiri, yang sudah pasti dibeli atas nama anda sendiri sebelum kahwin. Namun anda mesti ingat petua paling penting jangan sekali-kali cuba merampas tanggungjawab suami. Apa itu tanggungjawab seorang suami?
``Tanggungjawab suami adalah mengurus perbelanjaan rumah tangga seperti membayar semua bil, membeli makan dan pakai, menjaga sakit pening isteri dan anak-anaknya dan lain-lain. Sedikit atau sekecil mana pun gaji suami, adalah menjadi tanggungjawab hakiki suami tadi menyediakan semuanya terhadap isteri dan anak-anaknya.
``Atas dasar apa sekalipun (contohnya, bertolak ansur, kasihan atau cinta) jangan sekali-kali kaum wanita mahu merampas tanggungjawab lelaki yang asas ini (khususnya bantu membayar segala hutang piutangnya). Kalau anda ambil alih tanggungjawabnya ini, suami akan cepat naik sedap (naik mua) lantas dia akan mula bersikap lepas tangan, hingga menyerahkan semua tanggungjawab seperti membayar bil atau apa sahaja untuk anda pikul.

``Kalau anda sudah bersedia selepas 10 tahun, berkelakuan seperti itu anda jangan membebel kemudian hari dengan bercerita ke sana ke sini (termasuk dalam DCCK), kononnya segala pengorbanan anda kepada suami selama itu tidak dihargai lagi. Anda dah terlalu sayang kepada suami sanggup berkorban konon, jadi jangan bising pikul saja, sebab anda yang nak berkorban atas dasar sayang konon, cintalah dan entah apa-apa lagi!

``Kedua, anda mesti bersedia menerima segala-galanya ikut kemampuan suami. Contohnya, kalau suami cuma mampu beli beras tempatan berlaukkan ikan selar kuning setiap hari, sedangkan anda biasa makan beras Siam harum wangi jenama termahal dan lauk ikan jenahak, maka anda jangan membantah, anda telan semua yang suami anda beli walaupun tercekik sebab tak berselera. Namun kalau sesekali teringin nak makan sedap-sedap, makan di tempat kerja.

``Begitu juga halnya kalau dia beli baju kain murahan, hargailah, pakailah. Sekurang-kurangnya, anda pakai sewaktu nak melawat ibu bapa mentua anda biar suami puas hati dan mentua anda lihat apa yang anda pakai. Jangan nak tunjuk kemewahan anda.

``Ketiga, jangan sekali-kali menghalang suami anda menanggung ahli keluarganya. Itu adalah menjadi tanggungjawabnya. Biarkan dia berhabis untuk keluarganya, dan anda tidak perlu menghulurkan wang untuk membantunya. Biar dia uruskan sendiri. Kalau dia tak ada duit untuk anak-anaknya biarkan dia mencari jalan keluar sendiri.

``Bagaimanapun sebaik-baiknya anda nasihatkan dia supaya dia dapat memastikan dalam rumah tangga telah disempurnakan terlebih dahulu terutama tanggungjawabnya kepada anak-anak.

``Keempat, kalau anda hendak mencari pembantu rumah, anda uruskan sendiri, anda bayarlah gajinya. Kerana pembantu rumah itulah yang banyak mengambil tanggungjawab dan tugas yang sepatutnya anda lakukan di rumah. Kerana anda bekerja demi masa depan anda.

``Kelimanya, jangan sekali-kali anda cuba merampas tanggungjawab suami ketika dia mahu meneruskan pelajarannya. Kerana anda harus ingat anda bukannya bank atau PTPTN. dia boleh belajar, tapi ingat, tanggungjawabnya terhadap keluarga mesti didahulukan.

``Jangan pula kerana kesian, cinta dan sayang konon anda biarkan dia sambung belajar, dan anda ambil alih tugas mengurus keluarga. Kalau anda masih hendak menunjukkan simpati anda terhadap suami tercinta, lima atau sepuluh tahun kemudian anda jangan sekali-kali pergi ke rumah emak mengadu anda sudah jadi mangsa, suami tinggalkan anda atau bertemu kekasih baru di kampus dan nak minta izin kepada anda untuk kahwin lagi.

``Kerana pada pandangan saya semuanya adalah salah anda, anda tidak berterus terang dari awal dan jika ditakdirkan anda dimadukan terima saja jangan menangis,
``Keenam, jangan sekali-kali lagi cuba hendak memperbaiki diri suami anda. Contohnya, kerana anda malu pangkat atau gaji suami rendah maka anda berusaha malah menggalakkan dia jadi usahawan. Sebab masalahnya nanti anda juga yang akan kecewa.

``Sebab pertama kerana anda yang terpaksa bergadai bergolok, malah mengeluarkan wang simpanan anda untuk diberikan kepada suami supaya dijadikan modal dia berniaga. Masalah besar yang bakal anda tempuhi nanti jika dia gagal dalam perniagaan kerana tidak cukup pengalaman dan kurang berminat berniaga maka hidup anda akan dibebani hutang bukan puluhan ribu malah ratusan ribu ringgit dan anda akan menyesal sepanjang hayat.

``Tetapi kalau suami anda berjaya dalam perniagaan dan menjadi usahawan berjaya walaupun tak setaraf Tan Sri Tajudin Ramli mahupun Tan Sri Halim Saad, maka dia akan jadi orang yang terkejut beruk, sebab jadi kaya tak semena-mena, maka corak hidupnya akan bertukar, dan anda jangan bersedih, meratap dan menangis apalagi kalau dia tak balik ke rumah, sebab dah ada orang kedua dan dia akan minta izin anda untuk kahwin seorang lagi.

``Nasihat saya yang ketujuh dan terakhir, jangan sekali-kali buat joint akaun. Anda hendaklah sentiasa ingat hari tua anda. Sebab banyak terjadi seorang asyik menyimpan sementara seorang lagi asyik berbelanja, ataupun menabung untuk kekayaan dirinya sendiri. Siapa tau! Bila terjadi satu-satu hal duit dalam bank anda tinggal kosong, anda sendiri gigit jari. Dah banyak terjadi ini bukan benda baru, jadi sayangi diri sendiri supaya tidak kesal kemudian hari.

``Inilah tujuh nasihat saya kepada rakan-rakan yang ingin mendapatkan nasihat saya, dan insya-Allah mereka berjaya dalam hidup hingga beranak pinak, ini bukan soal ego, tetapi sensibility. Setiap insan ada tanggungjawab masing-masing yang telah ditetapkan oleh Allah. Kalau salah seorang daripada kita melanggarnya, samalah macam kita merosakkan alam sekitar. Musibah akan menimpa. Jadi, jangan menyesal di belakang hari dan menganggap diri sebagai mangsa, sebab yang salah adalah diri anda sendiri.'' SUAMI WAJIB SARA ISTERI
Sebuah akhbar tempatan melaporkan bahawa bilangan suami yang menjadi suri rumah tangga semakin meningkat. Ini bermakna, suami berhenti bekerja dan menjadi pengurus rumah tangga, manakala isteri meneruskan kerjayanya di luar rumah. Walaupun tiada data rasmi mengenainya, namun dipercayai bahawa semakin banyak pasangan suami isteri yang membuat keputusan seperti ini dalam usaha untuk menjayakan perkahwinan mereka. Punca utama yang menyebabkan pasangan suami isteri membuat keputusan ini ialah kerana kesukaran untuk mendapatkan kemudahan penjagaan anak yang memuaskan hati.
Mengambil pembantu rumah tidak menjadi pilihan kerana mereka merasakan kehadiran pembantu ini mengganggu privasi. Menghantar anak-anak ke pusat asuhan juga dianggap tidak sesuai kerana tahap penjagaan yang kurang memuaskan hati. Maka, keluarga yang dalam keadaan ini memutuskan bahawa adalah wajar si suami berhenti kerja dan menguruskan rumah tangga, manakala isteri terus bekerja dan secara tidak langsung menjadi pencari nafkah keluarga.
Ada yang melihat suami-suami yang memilih menjadi suri rumah tangga sebagai kumpulan yang mengalami perubahan paradigma kerana sebagai lelaki, mereka sanggup membuat kerja-kerja yang selama ini dilakukan oleh wanita.
Oleh kerana itu, keputusan mereka dipandang mulia dan terpuji. Namun, wajarkah aturan seperti ini berlaku dalam keluarga Islam?
Wajarkah seorang suami yang beragama Islam menjadi pengurus rumah tangga, manakala isterinya menjadi pencari dan pemberi nafkah untuk keluarga tersebut?
Pastinya, tidak wajar. Aturan ini tidak wajar bukan kerana Islam menghalang suami dari melakukan kerja-kerja rumah.
Malah, suami amat digalakkan untuk membantu isteri di rumah sebagaimana Rasulullah s.a.w. pernah membantu isteri-isteri Baginda.
Aturan ini tidak wajar kerana ia melanggar ketetapan Allah bahawasanya dalam keluarga Islam, tanggungjawab nafkah terletak di bahu suami (An-Nisa’:34).
Ini bererti, dalam keluarga Islam, golongan suami yang wajib bekerja untuk mencari nafkah dan bukannya isteri.
Walaupun Islam tidak melarang wanita untuk keluar bekerja, tetapi wanita bekerja bukan untuk menanggung nafkah keluarganya.
Melainkan dalam keadaan-keadaan tertentu seperti suaminya berpenyakit dan tidak boleh bekerja atau wanita itu merupakan seorang ibu tunggal, si isteri terpaksa menjadi pencari nafkah untuk keluarganya.
Jika dia redha dengan aturan tersebut, maka itu adalah lebih baik baginya. Sebaliknya, jika dia tidak reda, tiada kesalahan baginya kerana waris suami perlu memainkan peranan mereka seperti yang termaktub dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 233. Sekiranya suami tiada halangan untuk bekerja, mereka perlu menanggung nafkah keluarganya. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang membawa maksud: “Jika seseorang itu mencari kayu api dan menjualkannya, itu adalah lebih baik dari dia meminta-minta”. Demikianlah kerasnya tuntutan Islam agar kita berusaha mencari rezeki.Justeru, walaupun gaji isteri 10 kali ganda berbanding suami, suami masih perlu memberi nafkah kepada isterinya.Jumlah nafkah sebenarnya bergantung kepada kemampuan suami.
Jadi, tiada isu bahawa apa yang diberi oleh suami tiada nilai di sisi isteri. Yang penting, nafkah itu dapat menampung keperluan keluarga tersebut.
Di zaman serba canggih dengan teknologi maklumat (IT) ini, memang wujud banyak kesempatan untuk bekerja dari rumah. Malah, ramai yang kini mencari rezeki dari bilik tidur mereka sendiri dengan menggunakan Internet. Sekiranya suami-suami tadi tidak bekerja di luar rumah tetapi masih mempunyai pendapatan dengan bekerja dari rumah dan menggunakan pendapatan tersebut untuk keluarga, maka aturan ini boleh diterima oleh Islam.
Namun, jika suami tadi hanya menjadi pengurus rumah tangga tetapi tidak membawa nafkah, maka itu adalah sesuatu yang amat tidak wajar.
Malah, isteri boleh menuntut fasakh sekiranya suami gagal menunaikan tanggungjawab nafkahnya untuk tempoh yang tertentu.
Sebagai orang Islam, kita sepatutnya bersyukur kerana dianugerahkan al-Quran dan Sunah sebagai panduan untuk mengatur kehidupan kita.
Jadi, apa perlunya menoleh ke Barat?
Jika fenomena suami menjadi suri rumah tangga ini semakin ketara di Barat, mestikah ia juga berlaku dalam masyarakat kita?
Akan mundurkah masyarakat kita jika fenomena yang sama tidak berlaku di sini?
Bagi masyarakat yang tiada panduan, apa sahaja boleh berlaku. Tetapi tidak bagi masyarakat Islam. Jika masyarakat Hadhari menjadi matlamat kita, ini adalah antara perkara-perkara yang perlu dihentikan segera.

0 comments: