Spiga
View technorati.com

OLEH | Dr Ismail Thamby [ sakittuan@hmetro.com.my ]

BANYAK soalan diterima daripada lelaki yang ingin tahu ‘rahsia’ sama ada wanita yang bakal dikahwininya masih dara atau tidak. Ada yang berazam meninggalkan kekasih mereka jika tiada dara, dengan ada yang menggelar mereka ‘wanita kotor’.

Saya berasa perlu mengingatkan golongan ini yang perkahwinan adalah tuntutan dan sebahagian daripada agama. Ia bukan sekadar soal dara atau tidak.

Perkahwinan jauh melangkaui perkara itu. Ia proses menambah zuriat di muka bumi dan ini memerlukan satu ikatan sejati, penuh tanggungjawab dan bukan sekadar mencuba dan mencari jalan keluar apabila keadaan menjadi keruh.

Saya mengambil contoh satu soalan di mana seorang jejaka mendakwa kononnya dia berdepan dilema berat apabila wanita yang bakal dikahwininya mengaku tiada dara.

Mengikut jejaka itu, bakal isterinya mendakwa dirogol bekas teman lelakinya kira-kira empat tahun lalu, sekali gus menghadirkan kesan psikologi teruk.

“Sekarang hubungan kami renggang. Bagaimana saya hendak menerimanya lagi apabila dia kehilangan dara kepada lelaki yang bukan suaminya. Saya juga risau kejadian itu mengubah keadaan alat sulitnya, dan bimbang apabila mengadakan hubungan seks, saya tidak mendapat apa yang diharapkan,” kata jejaka itu.

Nasihat saya kepada lelaki dan juga wanita ialah, jika boleh, kisah lampau dibiarkan berlalu kerana bimbang menjadi igauan kepada pasangan dan hubungan anda berakhir dengan episod sedih.

Namun, bagi kes di atas, kebenaran sudah diceritakan. Bagi lelaki, anda harus melihat keikhlasan pasangan anda manakala perkara lampau tidak perlu diperbesarkan kerana saya pasti ia berlaku bukan di atas kerelaan.

Yang pasti, bukan hanya sekali ternoda, alat kelamin wanita bakal menjadi sama seperti mereka yang melahirkan anak. Malah, jika wanita itu tidak ikhlas, banyak cara untuk dia menyembunyikan perkara yang berlaku.

Perlu diingatkan juga, pada zaman serba canggih dan moden sekarang, dengan wanita turut ada di alam pekerjaan yang lasak, selaput dara mungkin pecah atas banyak sebab dan bukan hanya kerana aktiviti seksual.

Aktiviti bersukan seperti berbasikal adalah contoh. Onani juga boleh menyebabkan selaput berkenaan terkoyak, walaupun tanpa melakukan seks penetratif.

Sehubungan itu, nasihat saya ialah jangan terlalu memikirkan mengenai dara bakal isteri. Yang penting ialah mendapat isteri beriman dan mampu membahagiakan anda dalam hidup penuh kejujuran.

ADA YANG MENGHALANG

BAYANGKAN pasangan berkahwin gagal mengadakan hubungan seks kerana suami gagal menembusi faraj, walaupun isteri bersedia. Namun, si isteri dapat berasa sesuatu, seolah-olah isi di dalam ruang faraj yang menghalang kemasukan zakar!

Keadaan itu mengakibatkan suami menjadi hampa dan kedua-dua pasangan menghabiskan sentuhan intim di luar faraj. Persoalannya, berapa lama pasangan itu mampu bersabar untuk tidak melakukan hubungan seks penetratif.

Masalah lebih besar berlaku apabila isteri gagal hamil dan bagi yang prihatin, mereka berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan kesuburan. Ketika itu, baru masalah sebenar dikenal pasti.

Penghalang yang dimaksudkan itu boleh membabitkan cista daripada mukosa faraj atau pangkal rahim yang panjang.

Apabila cista dibedah buang atau pangkal rahim yang panjang dipendekkan, masalah penghalang selesai dan kehamilan boleh berlaku.

Bagaimanapun, jika pasangan itu tidak berjumpa doktor, pasti masalah berkenaan tidak diketahui dan hubungan mereka terus menjadi hambar dan tanpa zuriat.

Laporan Kes:

Saya pernah mengendalikan kes seperti ini. Sepasang suami isteri berjumpa saya mengenai masalah kesuburan dan selepas pemeriksaan rutin ‘Pap Smear’ dilakukan, saya dipanggil untuk membuat pemeriksaan. Yang jelas kelihatan, pangkal rahimnya panjang sehingga kelihatan di muka pintu faraj.

Wanita itu tiada selaput dara lagi, tetapi dia mengalami masalah melakukan persetubuhan dan suaminya kerap memberitahu ada sesuatu menghalang kemasukan zakar.

Pembedahan untuk mengecilkan pangkal rahim dilakukan, sekali gus memulihkan keadaan apabila pasangan itu dapat melakukan persetubuhan tanpa apa-apa halangan dan akhirnya wanita itu hamil beberapa bulan selepas pembedahan.

Wanita dinasihat menjalankan pemeriksaan kendiri anggota sulit atau ‘Vulval Self Examination’ supaya tahu mengenai anggota sulit mereka dan tidak rasa kekok untuk memanipulasinya ketika bersama suami.

Dengan kepekaan itu, mereka tahu jika wujud sesuatu yang luar biasa untuk dirujuk kepada doktor. Jangan berdiam diri dan menderita dalam diam apabila mengalami masalah kepada anggota sulit seperti berasa pedih atau kesakitan ketika ‘bersama’ kerana kemungkinan ada sesuatu yang tidak kena.

Sebagai persediaan awal, lakukan pemeriksaan kendiri dengan menggunakan cermin tangan dan meneliti anggota sulit dalam keadaan cahaya terang supaya dapat memahami masalah dan mudah memberitahu doktor apabila berjumpa doktor untuk pemeriksaan.

Perlu diingatkan, anggota sulit wanita mempunyai bibir besar, bibir kecil dan ‘vestibule’ atau bahagian antara bibir kecil, yang mana ada pembukaan lubang kencing di atas dan pembukaan lubang faraj di bawah.

Pembukaan lubang faraj kelihatan seperti isi berkumpul apabila wanita itu mencengkam otot lantai pelvik (otot kemut) dan wujud kerenggangan apabila kemutan dilegakan.

Bagi wanita yang mempunyai selaput dara, akan kelihatan cebisan isi mengelilingi pembukaan faraj. Kadangkala cebisan isi itu tiada dan ini boleh terjadi apabila selaput dara itu tipis atau tiada secara semula jadi.

Jarang ada selaput dara yang menutupi pembukaan faraj. Jika ini berlaku, wanita itu tidak mengalami kedatangan haid dan mungkin berasa tidak selesa di bahagian bawah perut.

Apabila diperiksa dari luar, bahagian di paras ari-ari kelihatan ketulan berbentuk seperti rahim. Namun, jika doktor memeriksa anggota sulit, kelihatan pembukaan faraj tertutup dan selaput yang menutupi pembukaan faraj mengembung.

Jika bahagian ini ditebuk, akan keluar darah haid yang bertakung selama ini. Keadaan ini dikenali sebagai ‘Hymenocolpos’ dan cara merawatnya ialah dengan menembuk selaput dara yang menutupi pembukaan faraj.

Bagaimanapun, perlu diingatkan selepas proses ini, seseorang wanita itu masih dara kerana belum melakukan bersetubuhan.

Oleh: Pakar Sakit Tuan, Dr Ismail Thamby

0 comments: